13 July 2010

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Rasulullah saw lalui peristiwa luar biasa, terima pensyariahan ibadat solat secara langsung

MAJLIS memperingati Israk dan Mikraj yang menjadi catatan penting sejarah perkembangan Islam di negara ini disambut dengan menganjurkan ceramah supaya umat Islam dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa itu.

Israk dan Mikraj dilalui Rasulullah saw bukan peristiwa biasa atau hanya sekadar perjalanan untuk melihat kehebatan alam semesta. Perjalanan itu mempunyai makna dan hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah saw secara peribadi serta umat Islam keseluruhan.

Israk dan Mikraj petanda bahawa risalah Islam disampaikan Rasulullah saw bukan untuk bangsa Arab saja tetapi seluruh alam maya yang terdiri daripada umat manusia dan jin, sebagai penghormatan kepada Rasulullah saw selaku rasul akhir zaman yang tidak dianugerahkan kepada rasul dan nabi sebelumnya.

Latar belakang sejarah perjalanan malam Rasulullah saw itu kerana kegelisahan dan kesedihan baginda akibat tentangan, ancaman, pemulauan, ejekan dan kecaman daripada kaum kafir musyrik terhadapnya.

Pada masa sama, Rasulullah saw kehilangan dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang gerakan dakwah menyeru kaumnya kepada Islam iaitu isteri tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya dikasihi, Abu Talib.

Tahun itu akhirnya diabadikan oleh sejarawan Islam sebagai tahun dukacita dalam kehidupan Rasulullah. Untuk meredakan kesedihan Rasulullah saw dan mengendurkan ketegangan Baginda menghadapi dugaan itu, Allah mengundang Rasulullah saw untuk Israk dan Mikraj pada malam 27 Rejab.

Semasa dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah saw diperlihatkan kejadian luar biasa yang mengungkapkan pelbagai hikmah dan iktibar kepada umat Islam hingga hari ini. Satu peristiwa penting sewajarnya diambil perhatian ialah disyariatkan ibadat solat lima waktu.

Jika diamati secara mendalam, ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah saw Sidratul Muntaha tanpa melalui wahyu dan perantaraan Jibril seperti puasa, zakat dan lain-lain lagi difardukan melalui perantaraan wahyu.

Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai ibadat solat. Dalam Islam, solat adalah tiang agama. Sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya, sesiapa meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai dipenuhi air yang mengalir di hadapan rumah. Kita akan mandi di sungai itu sebanyak lima kali sehari untuk membersihkan diri. Inilah perumpamaan yang dibuat Rasulullah saw bagi menggambarkan keistimewaan dan kelebihan ibadat solat dalam kehidupan Muslim.

Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis satu surat pekeliling untuk dikirimkan kepada semua gabenornya:

“Wahai gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas paling penting sekali pada pandanganku ialah mendirikan solat. Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat seperti mana sepatutnya, maka dia adalah orang yang tidak dipercayai.”

Sementara sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia sudah mensia-siakan urusan yang lainnya.”

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan dan kemelesetan ekonomi mempunyai sebab musabab saling berkaitan.

Hujung pangkal keadaan musibah menimpa umat Islam ialah kerana lemahnya iman dan malas melaksanakan ibadat kepada Allah terutama solat.

Seterusnya, Rasulullah saw dapat menghadap Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj maka setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi yang Maha Esa tidak memerlukan sebarang alat komunikasi walau secanggih macam mana sekalipun.

Memadailah seseorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga keadaannya melalui solat. Hanya dengan solat maka jiwa dan raga seorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung.

Selain itu, Rasulullah saw bertemu dengan kaum yang memecahkan kepala mereka dengan batu yang keras. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka berterusan memecahkan kepala.

Rasulullah saw bertanya kepada Jibril mengenai golongan itu, lalu dijelaskan bahawa mereka ialah sekumpulan orang yang berat kepala untuk mendirikan solat fardu.

Selain seksaan meninggalkan ibadat solat, Rasulullah saw diperlihatkan seksaan akibat tidak menunaikan zakat, memberi sedekah, memakan riba, meninggalkan jihad pada jalan Allah, tidak menjaga lidah dan memelihara anggota tubuh badan.

Rentetan kejadian demi kejadian ini menyingkap kewajipan agama sudah datang sekalipun masih belum difardukan dan mempamerkan corak kehidupan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan umat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan lagi kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang sekali gus menunjukkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh yang seharusnya diselami, difahami dan dipraktikkan setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj.

Peristiwa itu berupaya menjadi pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadah secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji Muslim supaya dapat meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Petikan: http://epondok.wordpress.com/

10 July 2010



Berlangsung Pada 9 dan 10 Julai 2010,
Kejohanan ini julung-julung kali diadakan di MTQ
Pihak penganjur megucapkan ribuan terima kasih dan Tahniah kepada semua pelajar MTQ di atas komitmen yg diberikan..





TAHNIAH!! Juara , sdr Zulkhairi (sem 3) dan Salim (sem 1)..










Semoga dengan penganjuran kejohanan badminton mahabbah MTQ 2010 ini, diberkati Allah dan semoga ikatan ukhuwah sesama pelajar semakin kukuh! insyaAllah ..










06 July 2010

IMTIHAN...

Sudah agak lama tidak menulis untuk blog ini. Ribuan kemaafan dipohon.

Fatrah imtihan untuk kami Mahasiswa tahun 1 disini semakin menjelma.
Untuk pengetahuan pembaca sampai kehari ini kami disini tidak menduduki peperiksaan. Perkara ini berlaku disebabkan ada beberapa masalah yang tidak sempat diselesaikan oleh pihak yang bertanggung jawab. Mungkin perkara ini sudah heboh diperkatakan di Malaysia sendiri.

Walau apapun kami bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk menduduki imtihan walaupun imtihan yang bakal kami tempuhi ini ialah dhur thani (peperiksaan ulangan).
Banyak kemungkinan dan risiko yang bakal kami tempuhi.Jika kami tidak lulus kertas yang diambil lebih daripada dua kertas/ madah, maka kami akan terus ke dhur thanah (ulang tahun), tidak ada lagi istilah peperiksaan ulangan bagi kami.

Mudah-mudahan perkara ini tidak berlaku kepada kami semua. Minta-minta dijauhkan.




Kami disini tidak lain tidak bukan mengharapkan doa daripada guru-guru dan sahabat-sahabat sekalian. Doakan kejayaan kami dan dipermudahkan segala urusan kami.

Saya mewakili sahabat-sahabat disini memohon jutaan kemaafan jika ada terdapat kesalahan dan kesilapan daripada kami.



Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak 3 Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra Kaherah Mesir.

;;

.


Janji Allah Pasti Berlaku!

Maahad Tahfiz Al-Quran (MAIK) ©Template Blogger Green by ubid_laden.

TOPO