29 December 2010

kondisi dini
seawal Baginda SAW didatangi di Hira’
Paduka Jibril mengajar perintah iqra’
13 tahun di Mekah Baginda SAW bergerak
di Madinah 10 tahun penyaksi jejak
sempurnalah al-Qur’an menjadi tonggak
anutan hidup secara mendatar & menegak
umat pula menyusun langkah & gerak
al-Qur’anlah sebagai lentera penyemarak
tiap isi rumah sibuk memperdengar bacaan
tiap insan sibuk mempelajari isi kalam
tiap manusia berlumba menyempurna suruhan
tiap orang bersaing meninggal larangan
tiap warga tak pernah lupa mendakwahkan
tiap diri sedia & rela mempertahan kandungan
al-Qur’an maha benar semua isian & susunan
jadi pemacu hidup & kehidupan
ke arah cemerlang gemilang & terbilang
al-Qur’an dibaca sebagai hiburan iman
al-Qur’an difaham diharap bimbingan
al-Qur’an didiskusi dipohon keberkatan
al-Qur’an diseminarkan didamba pertolongan
al-Qur’an ditelaah guna direalisasikan
al-Qur’an ditadabbur buat disebarkan
al-Qur’an dimuktamarkan untuk dipertahan

kondisi kini
al-Qur’an dibaca hanya untuk menghalau hantu & jembalang
al-Qur’an dipertandingkan demi sebuah gelaran; johan
al-Qur’an diperdengar di telinga manusia hampiri kematian
al-Qur’an dibacakan pada yang mati di kuburan
al-Qur’an, Yaasin malam Jumaat dibacakan
al-Qur’an dilagukan di majlis perasmian
al-Qur’an dibaca sewaktu tv memula siaran
al-Qur’an ditadarus hingga khatam pada Ramadhan
hafiz dicari untuk memperdengar bacaan
dalam solat Terawih yang panjang
kini al-Qur’an hanya bacaan bermusim & bertujuan
kini isi kandung tv & akhbar dibaca orang
kini isi kandung tv & akhbar dibicara orang
kini isi kandung tv & akhbar didiskusikan orang
kini isi kandung tv & akhbar disebarkan orang
kini isi kandung tv & akhbar dipertahan orang
kini isi kandung tv & akhbar dipercayai orang
kini isi kandung tv & akhbar diimani orang
kini isi kandung tv & akhbar diikut orang
kini isi kandung tv & akhbar dipuja & dipuji orang
kini isi kandung tv & akhbar disanjung orang
kini isi kandung tv & akhbar diwara-wara orang

isi kandung tv & akhbar ditulis orang punyai kepentingan
isi kandung tv & akhbar diilham orang singkat fikiran
isi kandung tv & akhbar tiada jaminan aman
muatan fitnah pembohongan kekarutan pemalsuan
sedang al-Qur’an Kalam AlLah, Tuhan
pengada dari dahulunya tiada bayang & kelihatan
semua spesis yang bernama alam
Yang Maha Suci dari segala kelemahan
Yang Maha Suci dari segala kekurangan
Yang Maha Suci dari segala kedaifan
Yang Maha Suci dari segala

petikan dari: Abdan Syakuura

25 November 2010

Si Kaya Yang Mithali




Si kaya yang mithali.

Harta hanyalah alat. Ibarat sebuah kereta yang bisa membawa kita ke mana sahaja. Dipusing ke kanan sterengnya, kereta itu mungkin menuju ke masjid. Di pusing ke kiri, kereta itu mungkin mengala ke taman bunga. Dibiarkan tidak bergerak, maka kekallah kereta itu di garajnya.

Dalam hal ini, Allah SWT sebenarnya ‘cemburu’ dengan mereka yang bijaksana dalam urusan hartanya. Cuba kita perhatikan petikan sebuah hadis: Daripada Hudzaifah r.a., katanya : “Dihadapkan kepada Allah SWT seorang di antara hamba-hamba-Nya yang diberiNya harta kekayaan. Lalu Allah bertanya kepadanya, “Apa kerjamu di dunia?” Jawab orang itu, “Tuhan memberi hamba harta kekayaan. Kerana itu hamba berdagang dengan orang ramai. Sifat hamba ialah suka melapangi. Kerana itu hamba beri kemudahan orang yang mampu, dan hamba beri tangguh orang yang dalam kesulitan.” Maka berfirman Allah swt., “Aku lebih berhak daripadamu tentang hal itu. (Hai, para malaikat!). Beri kelapangan hambaku itu!” (Riwayat Muslim)

Allah SWT mengarahkan para malaikatnya memberikan kesenangan kepada orang berkenaan, kerana ia adalah balasan di atas sifatnya yang suka menyenangkan orang lain. Inilah tipa manusia kaya idaman yang sepatutnya menjadi inspirasi kepada kita semua.

Harus diingat, harta adalah amanah Allah. Bagi orang yang sedar diri, maka harta itu dijana sesuai dengan kehendak Allah. Ibarat meminjam kereta kawan. Diminta kita pulangkan sebelum jam 8 malam, maka jangan dipulangkan pada jam 8 pagi esoknya. Jika diminta sebelum dipulangkan, diisi minyaknya penuh-penuh, maka jangan dipulangkan dengan minyaknya hanya separuh. Jika diminta agar kereta dibasuh sebelum dipulangkan, maka jangan pula saat kereta dihantar, selut dan lumpur menjadi corak tambahan.

Adatlah jika namanya meminjam. Jika semasa dalam amanah kita, kereta itu tidak dijaga dengan baik; alamatnya nama kita mungkin di’black-list’kan oleh pemilik kereta. Kelak, bila masanya kita mahu meminjam lagi, mungkin susah mahu diberi. Pelbagai alasan direka. Akhirnya siapa yang rugi, kita atau tuan punya kereta?

Mutakhir ini, makin ramai rakyat Malaysia yang ingin menjadi kaya dan berusaha menjadi kaya. Menjadi kaya itu pilihan kita sendiri dan ia tidak salah. Malah, tidak ada sesiapa pun boleh memarahi pilihan kita untuk menjadi kaya. Ada banyak baiknya menjadi kaya. Paling nyata, orang kaya boleh banyak bersedekah. Sedekah si kaya itulah yang membantu si miskin. Maka, elok sangat jika umat Islam mahu menjadi kaya.

Apa yang tidak elok, jika kekayaan didambakan namun gagal dikendalikan setelah mendapatkannya. Kita mungkin pernah terdengar kisah seorang sahabat nabi, yang saat kemiskinan mengulitinya, dia bermimpi membuat amal kebajikan jika diberikan kekayaan. Nabi sebaliknya, berpendapat dia lebih baik berada dalam kemiskinan. Lelaki miskin berkeras. Dia mahu menjadi kaya. Dia mendesak nabi berdoa.

Dipendekkan kisah, doa nabi makbul. Lelaki miskin menjadi kaya. Kayanya dia sehingga akhirnya dia terpaksa berpindah. Kambingnya yang kuat membiak memerlukan kawasan baharu. Daripada berdekatan dengan nabi, kian jauh dia membawa diri. Akhirnya, saat perintah zakat diturunkan, dia enggan tunduk dengan arahan. Dia mati dalam kefasikan. Adakah ini natijahnya kekayaan?

Sebab itulah, kita wajar berdoa agar menjadi orang kaya yang pemurah. Si kaya yang pemurah itu kekasih Allah. Si kaya yang pemurah juga dikasihi manusia. Mereka adalah payungnya umat, buat menumpang berteduh di kala hujan dan panas. Si kaya yang pemurah itu adalah penjaga amanah Allah yang tidak menyeleweng daripada kehendak Tuhan-nya.

“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw., lalu dia bertanya: “Ya, Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?” Jawab Rasulullah saw., “Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda sedang kikir, takut miskin, ketika anda sedang mengharap-harap akan menjadi seorang hartawan yang kaya-raya; maka pada saat-saat seperti itu janganlah anda lalai, bersedekahlah,” (Sahih Bukhari daripada Abu Hurairah r.a)

Sesungguhnya, manusia ini cenderung lupa dan alpa dalam kesenangan. Sebab itulah kita perlu sentiasa diperingatkan. Apatah lagi bagi orang kaya. Saat diri diulit kesenangan, kemewahan dan keseronokan duniawi, bimbang ada yang terlupa diri. Bukankah Allah sendiri menyatakan, “Bermegah-megahan (antaranya dengan harta kekayaan) telah melalaikan kamu, sehingga kamu masuk ke dalam kubur,” (at-Takasur: 1-2). Maka, dengan sedikit sentuhan ini, harapnya ia mampu membelai jiwa kita dan menarik kita agar menjadi si kaya yang mithali.

Wallahua’lam.

sumber:
http://www.hamizul.com/?p=2093

30 September 2010























MTQN Kelantan merakamkan jutaan terima kasih kepada sdr Hilal Asyraf juga admin laman web "pembangunan jiwa", langit ilahi.com kerana sudi berkongsi ilmu dan pengalaman beliau.



Semangat! sdr Hilal Asyraf sedang berkongsi sesuatu dengan para pelajar MTQN.






25 September 2010



01 September 2010

Lailatul Qadar


Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam Lailatul Qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja.

Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang ertinya :

"Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu."

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya.

Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat.

Demikianlah juga dengan penyembunyian malam Lailatul Qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam Lailatu Qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam Lailatul Qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan Lailatul Qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam Lailatul Qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Ubay Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai Lailatul Qadar yang artinya :

"Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram)." - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa.

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang ertinya :

"Sesungguhnya tanda-tanda Lailatul Qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu".- Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ubadah bin As-Somit ".

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya :

"Malam Lailatul Qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)".

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya:

"Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk".

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.

Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.
b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.
c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.
d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

petikan: http://resepirahsiaku.blogspot.com/

27 August 2010


SAYYIDINA UMAR BIN KHATTAB R.A BERKATA:


1-Allah menyembunyikan keredhaan dalam ketaatan. Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan  kepadaNya suapaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut,walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.


2-Allah menyembunyikan Kemurkaan diatas kemaksiatan kita. Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia.sedangkan sebenarnya Allah Murka kepada kita.sepatutnya kita gunakan peluang ini untuk bertaubat kepada Allah SWT.


3-Allah menyembunyikan kedatangan  malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain.Oleh itu Allah menghendaki  hambaNya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya.


4-Allah menyembunyikan wali-wali Allah  atau hambanya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut. Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.


5-Allah menyembunyikan tarikh kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.


Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambanya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan lebih sempurna, lihatlah  banduan yang berada di bilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka telah hilang akal dan melakukan perkara-perkara diluar akal kita kerana akal mereka sudah tidak berfungsi lagi.


6-Allah menyembunyi solat kita yang terbaik di sisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.Jika Allah zahirkan penerimaan solat kita pasti kita akan bermegah megah sesama manusia dan akan lalai serta mengambil peluang untuk melakukan maksiat.


Begitulah luasnya rahsia disisi Allah Yang Maha Esa.


petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com/

26 August 2010


Pada hari ini (17 Ramadan) tahun kedua hijrah telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang tidak wajar dilupakan oleh seluruh umat Islam.
Peristiwa tersebut ialah peristiwa peperangan Badar Al-Kubra yang merupakan satu pertembungan antara tentera yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera kuffar Quraisy.


Peristiwa ini adalah merupakan permulaan operasi jihad al-qital di dalam Islam dan tenteranya yang berjumlah 313 orang daripada kalangan sahabat merupakan batalion syuhada yang menyaksikan seramai 14 orang sahabat Rasulullah telah menemui syahid. Bermula peperangan ini gerakan jihad di dalam Islam tidak pernah berakhir dan akan berterusan sehinggalah hari Qiamat.

Walaupun peperangan ini bukanlah satu peperangan yang besar dari segi jumlah, masa dan saiznya kerana tidak berlarutan lebih daripada sehari manakala jumlah korbannya hanya 14 di pihak muslimin dan 70 di pihak musyrikin, tetapi kesan yang diperolehi daripadanya amat besar. Ianya tidak sama dengan peperangan lain yang memakan masa selama bertahun-tahun bahkan berpuluh tahun serta angka korban yang mencapai angka puluhan ribu kerana apa yang dinilai ialah objektif peperangan ini yang melakar sejarah permulaan pertembungan berdarah antara kebenaran dan kebatilan, antara tauhid dan juga syirik sehingga digelar dalm al-quran sebagai yaum al-furqan (hari pemisahan):

(وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان)

“Dan tidaklah kali turunkan kepada hamba kami pada hari Al-Furqan pada Hari pertemuan dua pihak”

Rasulullah s.a.w sendiri telah menzahirkan kepentingan dan kehebatan peperangan ini dengan satu doa baginda sehingga kain rida’ yang dipakai baginda terjatuh daripada bahunya ketika mengangkat tangan kerana bersungguh-sungguh dalam doanya yang mana ianya berbunyi:

"اللهم انصر هذه العصابة، اللهم إن تهلك هذه العصابة فلن تُعبد في الأرض بعد اليوم"

“Ya Allah, Kau Berilah kemenangan kepada kaum ini, Ya Allah sekiranya hancurnya kaum ini maka nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi selepas hari ini”

Maksud yang ingin dinyatakan oleh baginda dalam doa ini adalah kepenting peperangan yang sedang dihadapi kaum muslimin yang mana ia akan menentukan nasib agama Islam dan tauhid serta ibadah kepada Allah kerana kumpulan muslimin tersebut merupakan kumpulan sahabat yang membawa agama Allah yang terakhir dan tiada lagi Nabi selepas Muhammad serta tiada lagi kitab selepas Al-Quran serta tiada lagi syariat selepas syariat Islam. Sekiranya kumpulan badar ini tewas nescaya akan tewaslah Islam dan berakhirlah agama tauhid di muka bumi ini.

Dalam peperangan ini telah berlaku beberapa babak-babak yang membuktikan ketinggian keimanan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w dan kejayaan baginda mentarbiyah para jamaah muslimin samada kaum ansar dan muhajirin yang dibentuk di dalam madrasah nabawiyyah selama 13 tahun di Makkah dan selepas 2 tahun di Madinah.

Ketika mana Rasulullah bermusyawarah dengan para sahabat berkaitan kesediaan mereka untuk pergi berperang maka salah seorang daripada mereka yang bernama saidina Miqdad bin Al-Aswad berkata:

يا رسول الله والله لا نقول لك كما قالت بنو إسرائيل لموسى اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون، بل نقول لك اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون

“Wahai Rasulullah, Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana seperti mana berkatanya Bani Israel kepada Nabi Musa: Pergilah kamu dan tuhanmu dan berperanglah kamu berdua sedangkan kami ingin tinggal di sini, tetapi kami berkata kepadamu: Pergilah kamu dan tuhanmu maka berperanglah sesungguhnya kami akan berperang bersama kamu berdua”

Berkata pula saidina Saad Bin Muaz yang mewakili kaum Ansor:


يا رسول الله كأنك تريدنا، والله يا رسول الله لقد آمنا بك وصدَّقناك وأيقنا أن ما جئت به هو الحق، والله لو استعرضت بنا هذا البحر فخضته لخضناه وراءك ما تخلف منا رجل واحد وإنا لصُبُر في الحرب، صُدُق عند اللقاء، سالم بنا من شئت وحارب بنا من شئت لعل الله يريك منا ما تقر به عينك

“Wahai Rasulullah, seolah-olah kamu menginginkan kami. Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya kami beriman pada denganmu dan kami membenarkan kamu dan kami yakin sesungguhnya apa yang dibawa kamu adalah kebenaran. Demi Allah sekiranya dibentangkan kepada kami lautan luas kemudian engkau merentasinya nescaya kami akan merentasinya bersama di belakangmu dan tidak akan ada orang yang tertinggal walaupun seorang. Sesungguhnya kami orang-orang yang sabar dalam peperangan, benar dalam pertemuan, berdamailah dengan sesiapa pun yang engkau mahu bersama kami dan perangilah sesipa pun yang engkau mahu bersama kami semoga Allah menunjukkan apa yang menyejukkan matamu.”

Demikianlah beberapa perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan iktibar menerusi peristiwa peperangan badar semoga iman kita di bulan Ramadan ditingkatkan oleh Allah.

petikan: http://ibnubarqi.blogspot.com/

12 August 2010

Puasa sebenarnya memiliki rahsia dan dilengkapi pula dengan syarat kebatinannya. Imam Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukminin menggariskan enam perkara dalam perkara rahsia iaitu:

1. Memejamkan mata dan menahannya daripada memandang perkara tercela dan dibenci agama, mengganggu hati, melalaikan daripada mengingat Allah.

2. Memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan sombong.

3. Pelihara pendengaran daripada hal yang dilarang dan dibenci serta ungkapan yang diharamkan.

4. Memelihara seluruh anggota badan seperti tangan, kaki dan perut daripada dosa. Contohnya berpuasa menahan lapar, tetapi berbuka dengan makanan haram.Iman Ghazali memperi perumpamaan seperti seorang yang membina istana yang indah kemudian memusnahkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya ”Ada ramai ynag berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.”

5. Jangan membanyakkan makan waktu berbuka hingga terlampau kenyang dan terlalu mewah engan makanan.Bagaimana mahu melawan syaitan dan nafsu sedangkan perut yang terlalu kenyang itu sebenarnya mengundaang syahwat baru? Perbuatan makan sampai terlalu kenyang bertentangan dengan maksud puasa itu sendiri.

6. Hatinya hendaklah bimbang diantara takut dan harapan iaitu sama ada amalannya diterima Allah atau puasanya ditolak hingga digolongkan orang yang jauh dari rahmat Allah. Imam Ghazali menyifatkan perasaan seumpama itu harus sentiasa ada dalam diri seseorang setiap kali menunaikan apa jua ibadat.

petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com

13 July 2010

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Rasulullah saw lalui peristiwa luar biasa, terima pensyariahan ibadat solat secara langsung

MAJLIS memperingati Israk dan Mikraj yang menjadi catatan penting sejarah perkembangan Islam di negara ini disambut dengan menganjurkan ceramah supaya umat Islam dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa itu.

Israk dan Mikraj dilalui Rasulullah saw bukan peristiwa biasa atau hanya sekadar perjalanan untuk melihat kehebatan alam semesta. Perjalanan itu mempunyai makna dan hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah saw secara peribadi serta umat Islam keseluruhan.

Israk dan Mikraj petanda bahawa risalah Islam disampaikan Rasulullah saw bukan untuk bangsa Arab saja tetapi seluruh alam maya yang terdiri daripada umat manusia dan jin, sebagai penghormatan kepada Rasulullah saw selaku rasul akhir zaman yang tidak dianugerahkan kepada rasul dan nabi sebelumnya.

Latar belakang sejarah perjalanan malam Rasulullah saw itu kerana kegelisahan dan kesedihan baginda akibat tentangan, ancaman, pemulauan, ejekan dan kecaman daripada kaum kafir musyrik terhadapnya.

Pada masa sama, Rasulullah saw kehilangan dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang gerakan dakwah menyeru kaumnya kepada Islam iaitu isteri tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya dikasihi, Abu Talib.

Tahun itu akhirnya diabadikan oleh sejarawan Islam sebagai tahun dukacita dalam kehidupan Rasulullah. Untuk meredakan kesedihan Rasulullah saw dan mengendurkan ketegangan Baginda menghadapi dugaan itu, Allah mengundang Rasulullah saw untuk Israk dan Mikraj pada malam 27 Rejab.

Semasa dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah saw diperlihatkan kejadian luar biasa yang mengungkapkan pelbagai hikmah dan iktibar kepada umat Islam hingga hari ini. Satu peristiwa penting sewajarnya diambil perhatian ialah disyariatkan ibadat solat lima waktu.

Jika diamati secara mendalam, ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah saw Sidratul Muntaha tanpa melalui wahyu dan perantaraan Jibril seperti puasa, zakat dan lain-lain lagi difardukan melalui perantaraan wahyu.

Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai ibadat solat. Dalam Islam, solat adalah tiang agama. Sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya, sesiapa meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai dipenuhi air yang mengalir di hadapan rumah. Kita akan mandi di sungai itu sebanyak lima kali sehari untuk membersihkan diri. Inilah perumpamaan yang dibuat Rasulullah saw bagi menggambarkan keistimewaan dan kelebihan ibadat solat dalam kehidupan Muslim.

Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis satu surat pekeliling untuk dikirimkan kepada semua gabenornya:

“Wahai gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas paling penting sekali pada pandanganku ialah mendirikan solat. Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat seperti mana sepatutnya, maka dia adalah orang yang tidak dipercayai.”

Sementara sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia sudah mensia-siakan urusan yang lainnya.”

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan dan kemelesetan ekonomi mempunyai sebab musabab saling berkaitan.

Hujung pangkal keadaan musibah menimpa umat Islam ialah kerana lemahnya iman dan malas melaksanakan ibadat kepada Allah terutama solat.

Seterusnya, Rasulullah saw dapat menghadap Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj maka setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi yang Maha Esa tidak memerlukan sebarang alat komunikasi walau secanggih macam mana sekalipun.

Memadailah seseorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga keadaannya melalui solat. Hanya dengan solat maka jiwa dan raga seorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung.

Selain itu, Rasulullah saw bertemu dengan kaum yang memecahkan kepala mereka dengan batu yang keras. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka berterusan memecahkan kepala.

Rasulullah saw bertanya kepada Jibril mengenai golongan itu, lalu dijelaskan bahawa mereka ialah sekumpulan orang yang berat kepala untuk mendirikan solat fardu.

Selain seksaan meninggalkan ibadat solat, Rasulullah saw diperlihatkan seksaan akibat tidak menunaikan zakat, memberi sedekah, memakan riba, meninggalkan jihad pada jalan Allah, tidak menjaga lidah dan memelihara anggota tubuh badan.

Rentetan kejadian demi kejadian ini menyingkap kewajipan agama sudah datang sekalipun masih belum difardukan dan mempamerkan corak kehidupan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan umat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan lagi kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang sekali gus menunjukkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh yang seharusnya diselami, difahami dan dipraktikkan setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj.

Peristiwa itu berupaya menjadi pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadah secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji Muslim supaya dapat meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Petikan: http://epondok.wordpress.com/

10 July 2010



Berlangsung Pada 9 dan 10 Julai 2010,
Kejohanan ini julung-julung kali diadakan di MTQ
Pihak penganjur megucapkan ribuan terima kasih dan Tahniah kepada semua pelajar MTQ di atas komitmen yg diberikan..





TAHNIAH!! Juara , sdr Zulkhairi (sem 3) dan Salim (sem 1)..










Semoga dengan penganjuran kejohanan badminton mahabbah MTQ 2010 ini, diberkati Allah dan semoga ikatan ukhuwah sesama pelajar semakin kukuh! insyaAllah ..










;;

Janji Allah Pasti Berlaku!

Maahad Tahfiz Al-Quran (MAIK) ©Template Blogger Green by ubid_laden.

TOPO