24 March 2015




Palestin,
Siapakah pemilik nama ini?
Aku telah mendengarnya sejak kecil,
Pada waktu ia sudah berdarah,
Dan hari ini,
Darahnya terus mengalir.

Aku kira, 
ianya Peringatan berterusan kepada Ummah,
Justeru darahnya tidak akan pernah kering,
Sehingga Ummah menyelamatkannya,
Dengan kekuatan ISLAM.

Sepanjang sejarah, Palestin adalah bumi yang menjadi tanda. Antara kebaikan dan kebatilan. Ketika kebaikan menguasai dunia, dia juga menguasai Palestin. Tatkala kebatilan berkuasa di Palestin, menghina dan menginjaknya, ia juga memberi tanda, kebatilan juga menyelubungi dunia.

Kerana Palestin adalah bumi kemuncak. 

Kemuncak kepada kekuasaan.

Maka saat Umat Islam kehilangan Palestin, mereka bukan sahaja kehilangan Al-Quds, bahkan kehilangan diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka sendiri daripada hakikat Islam.

Kerana boikot dan derma tidak dapat menyelamatkan Palestin. Yang dapat menyelamatkannya adalah diri mereka sendiri.

Apabila mereka berdiri sebagai Muslim yang sebenar, apabila mereka mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyyah Islam, apabila masyarakat mereka mempunyai semangat Islam, apabila pemerintah mereka melaksanakan pemerintahan Islam, ketika itulah kegerunan sebenar menyelubungi orang-orang Zionis Laknatullahi a'laihim.

Kerana mereka tahu, ketika itu umat Islam bukan saja akan memboikot barangan mereka, bukan saja menderma, bahkan umat Islam akan memberikan tentangan yang penuh untuk berhadapan dengan mereka. 

Kerana dahulunya, Islamlah yang membawa umat Islam kepada kemuncak sehingga mereka membebaskan Al-Quds.

Palestin, Hanya Apabila Muslim Berubah

Firman Allah SWT;


Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini (Baitul Maqdis), kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami '; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik".

(Surah al-Baqarah: 58)

Perintah Allah kepada Bani Israel dulu. Supaya bersyukur diatas nikmat kemenangan mengusai Baitul Maqdis. Malangnya, mereka melangkah kedalamnya dengan penuh kesombongan.
Justeru mereka dihina oleh Allah.

Israel hari ini pula, melangkah kedalam Baitul Maqdis dengan bongkak dan mencemar duli Baitul Maqdis dengan kerosakkan dan kehancuran. Dasar orang-orang Israel yang tidak berubah.

Firman Allah SWT;

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu."
(Surah al-Baqarah: 120)

Peringatan Allah kepada umat Islam, tentang kebobrokan musuh mereka sepanjang pertembungan dalam sejarah.


Sesungguhnya perjuangan membebaskan Palestin adalah perjuangan yang panjang. Membebaskan Al-Quds tidak boleh bermusim, "sekali air bah, sekali pantai berubah". Dan isu Palestin bukan semata-semata isu Palestin. Bahkan ia bersangkut-paut dengan keadaan ummah secara global.

Justeru pembebasan Palestine bermula dengan membebaskan diri daripada maksiat dan kepunahan kepada kemurnian Islam. Sehinggalah tanah air kita sendiri dibebaskan supaya pemerintahan hanya tunduk kepada Allah SWT.

Kerana Palestin, hanya apabila Muslim kembali kepada ISLAM.

Sehingga saat itu, Palestin akan terus berdarah.

Sebagai peringatan berterusan kepada Ummah.

Allahuakbar!


26 November 2013




Sinopsis.

Mike Wazowski seorang kanak-kanak yang tidaknpunyai bakat sebagai 'Scarer'. Scarer ialah pekerjaan raksaksa utk menakutkan manusia bagi menghasilkan tenaga elektrik. 

Mike bagaimana pun memasang cita-cita untuk memasuki Monster's University dan mengikuti program Scarer.

Diringkaskan cerita, dia dibuang daripada program hanya kerana satu kes antara dia dan seorang raksaksa keturunan Sullivan ketika ujian akhir program.

Adapun James P. Sullivan adalah daripada keturunan yg menakutkan. Ayahnya seorang pegawai scarer. Dia bagaikan 'born talanted'. Sehingga menyebabkannya berasa bangga dengan keturunannya.

Setelah Mike dan Sullivan dibuang daripada program itu, maka bermulalah kisahnya, untuk kembali ke program tersebut dengan menyertai Pertandingan Scarer.

Saksikan sendiri.

(Nilai)

Saya minat movie. Paling minat, movie cartoon. Antara sebabnya, cartoon lebih jelas pengajaran positif berbanding movie jenis lain. 

Dan sebab yang kedua, maaf saya katakan, cartoon tidak menyakitkan mata dan 'menggelapkan' hati.

Antara nilai dalam movie "Monster's University".

1. Sebagai pelajar. 

- Kesungguhan untuk mencapai cita2. Kesungguhan Mike ketika mula belajar di Monster's University.  Penyusunan jadual dsb.

- Meskipun sering diejek dan dihina, namun Mike punya keyakinan yg tinggi utk mencapai cita2.

-Mike tahu kelemahan dirinya. Dia sedar, dia perlu bekerja lebih daripada orang lain yang perkara itu mudah bagi mereka.

2. Organisasi.

- Ciri-ciri seorang ketua yang baik, bukan hanya punya perancangan sendiri, tapi juga memberi kepercayaan kepada ahli untuk membuktikan kebolehan diri.

- Ketua perlu berpandangan jauh untuk menguat dan memberi semangat kepada ahli. 

- Sebagai ahli dan ketua, perlu saling memberi kerjasama dan pandangan, supaya kejayaan dapat dicapai.

- Kepatuhan diperlukan oleh ketua drp setiap ahli, kerana setiap org punya idea dan cadangan. Maka konflik akan berlaku sehinggalah ketua membuat keptusan dan ahli wajib patuh.

3. Nilai Persahabatan.

- Mike dan Sullivan,  masing-masing nampak kuat di mata ahli mereka. Tapi sebenarnya punya kelemahan sendiri. Pada waktu itu, sahabat diperlukan untuk membuktikan kebolehan dan menampung kelemahan. 

- Ahli persatuan Oozma Kappa pandai menghargai kelebihan orang lain. Hal ini menyebabkan orang lain, boleh bergerak lebih jauh dari biasa dan tidak malu untuk berubah!

...

Sebenarnya lebih banyak yang saya nak tulis. Tapi bimbang, tulisan ni makin meleret.

Selebihnya, tengok dan nilailah sendiri..!

Part yang saya paling minat, adalah yg terakhir.

Selamat menilai. :)



07 October 2013

Ada sebuah institusi pengajian tinggi yang beraliran melahirkan agamawan. Justeru, setelah sekumpulan pelajar menamatkan pengajian mereka di istitusi tersebut, mereka merancang melaksanakan sebuah program yang gamaknya besar dengan kos yang menelan belanja hampir RM100K. Jumlah yang tentu saja kecil kepada mereka yang besar-besar. Ini pula, sekumpulan 18 orang pelajar dan rata2 mereka berusia 21 tahun.


Mari kita tinggalkan soal pengisian program dan sebagainya. Sebaliknya kita hanya fokus kepada soal kos program yang hampir RM100K itu. 

Sebelum gerak-kerja secara serius dilakukan, atau lebih tepat 3 bulan sebelum program tersebut berlangsung, jumlah wang yang terkumpul hanya sekitar RM3K sahaja. Bagaimana mereka akan mengumpulkan jumlah wang yang begitu besar (pada kadar kemampuan mereka) dalam masa 3 bulan?

Pada peringkat awal, rata2 peserta (18 orang) merangkap ahli gerak-kerja program, hampir saja berPUTUS-ASA melihat kpd kondisi program mereka.

Namun, 2 bulan sebelum program berlangsung, keyakinan mereka mulai berubah. Dengan bermotivasikan, "usaha selagi mampu, program belum bermula." Begitulah gamaknya. Walaupun jumlah terkumpul hanya sekitar RM20K.

Mereka berusaha. 

Strategi untuk mengumpul wang dirangka. Ada yang memberi cadangan mejalankan perniagaan, mengajar dan sebagainya. Akhirnya, cadangan paling popular di persetujui, iaitulah memohon sumbangan. 

Zikir khusus menyatakan kesetian mereka melaksanakan program dengan ikhlas ditetapkan. 
Harian mereka perlu ada solat hajat, dhuha dan sembahyang fardhu mesti berjemaah dan mesti di masjid. 
Ukhuwwah mereka diperkuat, salah-silap mudah dimaafkan. 
Mereka sedar dengan kudrat yang kerdil tidak dapat menunaikan hasrat yang besar itu, melainkan dengan izin ALlah semata. 
Justeru liqa' harian dibuat sebagai memperingatkan tentang tujuan program dilaksanakan, dan bermuhasabah mengharapkan pertolongan ALlah SWT.

3 minggu sebelum program bermula, tanda2 kejayaan sudah mulai kelihatan. Jumlah terkumpul mencecah RM60K, menandakan keperluan asasi program sudah boleh dilunaskan. 

Selain daripada masaalah kewangan, mereka juga berhadapan dengan masaalah dengan individu yang berkaitan secara tidak langsung dengan program. Malahan banyak sekali masaalah tersebut sehingga mengganggu hari2 mereka untuk mecari dana. 

Namun kita tinggalkan, dan fokus kepada kos program.

Satu kali, mereka menerima panggilan penting. Ya. Panggilan yang sedikit-sebanyak menggugah hati dan jiwa mereka. 

Benarlah, kata2 ulama',
"Kebanyakkan dari cabaran yang sebenar datang dari kelemahan diri (Iman) sendiri."

Pemanggil itu menyatakan, ingin memberi sumbangan sebanyak RM25K, sekaligus melebihi kos yang diperlukan yang pada waktu itu sudah melepasi angka RM100K sebelum ditambah dengan wang dari pemanggil dan kemasukkan wang untuk hari2 seterusnya. 

Timbul pertanyaan dalam diri mereka. Kemana wang lebihan itu akan dibelanjakan? Bolehkah kita bahagikan lebihan wang tersebut? 

Mereka yang sebelumnya menyanggupi segala pengorbanan, menanggung jerih-perih, kemudiannya hampir tersadung disebabkan lebihan wang. 

Lebihan wang itu juga menggusarkan hati peserta-peserta lain. Gusar dan bimbang kalaulah wang itu disalah-guna. Justeru, segera mereka hubungi agamawan untuk menetapkan status wang tersebut, sebelum tangan2 ghaib mengambil kesempatan.

Akhirnya, program tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Dan lebihan wang, diserahkan kepada yang sepatutnya.

...

Ketika masih belajar di Ma'ahad Muhammadi Lilbanin, saya pernah dengar abang2 senior membacakan suatu hadith ketika memberi tazkirah ringkas lepas maghrib. Saya hanya ingat mafhum daripada hadith tersebut. Dan anda bolehlah mencari status hadith ini, kemudian kongsikan kepada saya. 

Mafhumnya, Nabi SAW tidak mendoa'kan supaya dijadikan dirinya seorang kaya, dan tidak juga fakir. Sebaliknya baginda berdoa' supaya dijadikan dirinya seorang yang miskin (pertengahan diantara kaya dan fakir).

(Bersambung)

09 February 2013

Ini adalah post saya yang kedua, selepas yang pertama berkaitan peperiksaan, yang kedua juga berkaitan dengan peperiksaan. Apabila disebut peperiksaan, maka pelbagai definisi dan perumpamaan boleh dibuat. Saya tidaklah pula ingin mendefinasikan peperiksaan itu. Cuma, bagaimana cara kita memandang peperiksaan itu.


Memang benar, orang masuk ujian adalah untuk berjaya. Agak terlalu pelik, apabila anda memasuki ujian, tapi tidak mahukan kejayaan. Cuma, betulkah jalan yang sedang anda lalui sebelum peperiksaan itu, adalah cara yang benar, strategi yang betul sehingga anda berjaya dalam ujian.?

Dalam perumpamaan ada juga menyebut, orang yang gagal dalam perancangan, ialah mereka yang merancang untuk gagal. Maka dalam ujian, orang yang gagal dalam peperiksaan, ialah mereka yang GAGAL dalam berUSAHA ialah mereka berusaha untuk gagal. Kerana usaha itu, TANDA kejayaan. Kemudian orang yang gagal juga, ialah mereka yang berUSAHA tanpa TAWAKKAL kepada ALlah SWT.

Fatrah Persediaan

Tempoh kini, adalah tempoh Persediaan untuk peperiksaan. Maka cara yang paling baik untuk mengisi tempoh ini, adalah mengenal diri sendiri. Kenal dimana kelemahan kita. Tidak pelik, kalau ada yang lambat dalam menghafal dan sebagainya. 

Manusia sememangnya diciptakan berbeza. Lihat saja diluar sana, berapa ramai insan yang 'keistimewaan Upaya'. Mereka mungkin tidak dapat melihat, tapi hati mereka tidak buta. Ada juga yang kudung tangannya, namun mereka tidak pula kudung semangatnya! Begitulah Adilnya ALlah SWT. 

Justeru dalam IQ juga, mungkin setiap daripada kita berbeza. Mungkin ada yang lemah dalam IQ, tapi hebat dari sudut EQ dan SQ. Maka tidak pelik, asalkan kita kenal kelemahan kita, dan berusaha menukarkan kelemahan itu menjadi Kekuatan kepada kita. Ingatlah, ALlah itu Maha Adil.

Yang kedua, setelah kita mengetahui kelemahan diri, maka atasilah kelemahan itu. Dalam proses mengatasi kelemahan diri, kita memerlukan usaha yang lebih daripada orang lain. Tatkala orang lain, mengulang 1 juzu', dalam masa satu hari, mungkin kita kena mengulang 2-3 hari. Marilah kita melihat seseorang yang kudung tangannya. Betapa susah untuk dia bekerja dan melakukan jadual seharian. Namun berkat kesungguhan dan yakin dengan Bantuan daripada ALlah, maka dia berjaya membina kelemahan menjadi kekuatan kepada dirinya. 

Sesungguhnya ALlah tidak melihat berjaya atau tidak matlamat yang kita kehendaki. Tapi ALlah 'Melihat' berapa banyak Usaha yang kita lakukan untuk mencapai matlamat tersebut, seterusnya digantikan dengan pahala dan balasan yang baik.

InsyaALlah, saya akan sambung tulisan ini pada masa akan datang. Inilah sedikit Nasihat daripada orang yang gagal.


WaLlahua'lam.

29 September 2012

Ujian Oh iMtiHan

BismiLlah. 
AlhamduliLlah. Sekarang ini, kita sudah melalui hampir 80% fatrah peperiksaan.  Kalau peperiksaan itu, memaksa kita untuk membaca lebih dari biasa, maka sudah kita kerjakan. Kalau peperiksaan itu, menuntut kita untuk mengulang,maka telah kita laluinya. Kalau peperiksaan itu, memberi tekanan, sudah juga kita rasakannya.Kini, tibalah pula masa untuk kita melihat peperiksaan itu, dari sisi pandangan lain. 

Maka saya menulis. Dengan harapan berkongsi sedikit hikmah dengan anda sekalian.
Walaupun kita menjawab pada kertas soalan yang sama, namun ujian dalam kalangan kita dalam menghadapi imtihan, tetap berlainan.

Ada yang menjawab soalan peperiksaan ketika diuji supaya malas untuk membaca. Ramai juga yang rajin apabila dalam fatrah peperiksaan. Ada yang berada dalam dewan peperiksaan dalam keadaan demam, pening kepala dan sebagainya. Ramai saja yang sihat-segar, walaupun sakit-demam sebelum imtihan. Ada pula yang menghafal, tapi susah untuk mengingat. Kalau ingat pun, mudah lupa. Tapi ingat benda lain, mudah sekali. Maka dia perlu membaca lebih daripada orang lain. Namun ramai juga yang cepat-mudah dalam menghafal dengan mangamalkan taktik-teknik tertentu.

Justeru disana, setiap daripada kita menghadapi peperiksaan yang sama, kertas yang sama, dewan yang sama, masa yang sama, namun tetap ada lainnya. Samaada kelainan itu datang dari diri-sendiri, ataupun dari orang lain atau dari keadaan sekeliling.

Agama mempunyai pandangan yang sangat adil kepada setiap manusia. Sebagaimana penekanan yang diutarakan Allah dalam AL-Qur’an, bahawa Allah SWT mempunyai pandangan-Nya yang tersendiri dalam membuat keputusan kepada manusia. Ada yang malas, tapi berusaha merajinkan diri. Ada yang sakit-demam, tapi menggagahkan diri. Yang susah ingat, tetap membaca lebih.

Walaupun kertas soalan tidak dapat memberi nilai ketika kita berusaha lebih daripada orang lain, melainkan hanya jawapan yang tertera pada kertas, ketika inilah Allah SWT dengan sifat-Nya Yang Maha Adil, mengambil nilai usaha untuk mengatasi dengan memberikan ganjaran pahala.

Maka jadilah sebahagian daripada orang-orang yang BERUSAHA! Walau dihimpit kesusahan. Walau perlu lebih daripada orang lain. Sesungguhnya pemeriksa tidak melihat, tapi Allah SWT ‘melihat’ justeru memberikan pahala dan ingatlah bahawa ganjaran disisi Allah itu lebih besar dan baik, kalau kita ketahui.

12 June 2011

Untaian Kata ntuk DiRasa


Kata ustaz
Kita ini semuanya sama
Tiada beza yang tua mahupun yang muda
Jangan menyombong atau takbur sesama manusia
Sekalipun kita berpangkat atau berilmu
Kerana disisi Allah
Kita semuanya sama…

Kata ustaz
Jangan kita hina orang yang lemah
Yang kurang berada
Mahupun yang kurang paras rupa
Tiada beza yang mengerjakan sawah
Mahupun yang membina perumahan mewah
Kerana disisi Allah
Kita semuanya sama…


Kata ustaz lagi
Jangan kita hina
Budak kecil yang comot lagi berhingus
Kerana dia tiada dosa
Sedangkan kita
Setiap waktu dan ketika
Memenuhi hati kita
Dengan titik-titik noda
Dalam tidur, dalam jaga…


Akhirnya ustaz berpesan,
Ingatlah!
Kita manusia semuanya adalah sama
Yang membezakan kita
Hanyalah AMAL dan TAQWA
Biarlah kita kurang dimata manusia
Tetapi tinggi disisi ALLAH...
Peliharalah dirimu
Agar tidak dinodai dengan suasana

Sesungguhnya dirimu
Ada harga diri
Yang tidak ternilai mahalnya…

29 December 2010

kondisi dini
seawal Baginda SAW didatangi di Hira’
Paduka Jibril mengajar perintah iqra’
13 tahun di Mekah Baginda SAW bergerak
di Madinah 10 tahun penyaksi jejak
sempurnalah al-Qur’an menjadi tonggak
anutan hidup secara mendatar & menegak
umat pula menyusun langkah & gerak
al-Qur’anlah sebagai lentera penyemarak
tiap isi rumah sibuk memperdengar bacaan
tiap insan sibuk mempelajari isi kalam
tiap manusia berlumba menyempurna suruhan
tiap orang bersaing meninggal larangan
tiap warga tak pernah lupa mendakwahkan
tiap diri sedia & rela mempertahan kandungan
al-Qur’an maha benar semua isian & susunan
jadi pemacu hidup & kehidupan
ke arah cemerlang gemilang & terbilang
al-Qur’an dibaca sebagai hiburan iman
al-Qur’an difaham diharap bimbingan
al-Qur’an didiskusi dipohon keberkatan
al-Qur’an diseminarkan didamba pertolongan
al-Qur’an ditelaah guna direalisasikan
al-Qur’an ditadabbur buat disebarkan
al-Qur’an dimuktamarkan untuk dipertahan

kondisi kini
al-Qur’an dibaca hanya untuk menghalau hantu & jembalang
al-Qur’an dipertandingkan demi sebuah gelaran; johan
al-Qur’an diperdengar di telinga manusia hampiri kematian
al-Qur’an dibacakan pada yang mati di kuburan
al-Qur’an, Yaasin malam Jumaat dibacakan
al-Qur’an dilagukan di majlis perasmian
al-Qur’an dibaca sewaktu tv memula siaran
al-Qur’an ditadarus hingga khatam pada Ramadhan
hafiz dicari untuk memperdengar bacaan
dalam solat Terawih yang panjang
kini al-Qur’an hanya bacaan bermusim & bertujuan
kini isi kandung tv & akhbar dibaca orang
kini isi kandung tv & akhbar dibicara orang
kini isi kandung tv & akhbar didiskusikan orang
kini isi kandung tv & akhbar disebarkan orang
kini isi kandung tv & akhbar dipertahan orang
kini isi kandung tv & akhbar dipercayai orang
kini isi kandung tv & akhbar diimani orang
kini isi kandung tv & akhbar diikut orang
kini isi kandung tv & akhbar dipuja & dipuji orang
kini isi kandung tv & akhbar disanjung orang
kini isi kandung tv & akhbar diwara-wara orang

isi kandung tv & akhbar ditulis orang punyai kepentingan
isi kandung tv & akhbar diilham orang singkat fikiran
isi kandung tv & akhbar tiada jaminan aman
muatan fitnah pembohongan kekarutan pemalsuan
sedang al-Qur’an Kalam AlLah, Tuhan
pengada dari dahulunya tiada bayang & kelihatan
semua spesis yang bernama alam
Yang Maha Suci dari segala kelemahan
Yang Maha Suci dari segala kekurangan
Yang Maha Suci dari segala kedaifan
Yang Maha Suci dari segala

petikan dari: Abdan Syakuura

25 November 2010

Si Kaya Yang Mithali




Si kaya yang mithali.

Harta hanyalah alat. Ibarat sebuah kereta yang bisa membawa kita ke mana sahaja. Dipusing ke kanan sterengnya, kereta itu mungkin menuju ke masjid. Di pusing ke kiri, kereta itu mungkin mengala ke taman bunga. Dibiarkan tidak bergerak, maka kekallah kereta itu di garajnya.

Dalam hal ini, Allah SWT sebenarnya ‘cemburu’ dengan mereka yang bijaksana dalam urusan hartanya. Cuba kita perhatikan petikan sebuah hadis: Daripada Hudzaifah r.a., katanya : “Dihadapkan kepada Allah SWT seorang di antara hamba-hamba-Nya yang diberiNya harta kekayaan. Lalu Allah bertanya kepadanya, “Apa kerjamu di dunia?” Jawab orang itu, “Tuhan memberi hamba harta kekayaan. Kerana itu hamba berdagang dengan orang ramai. Sifat hamba ialah suka melapangi. Kerana itu hamba beri kemudahan orang yang mampu, dan hamba beri tangguh orang yang dalam kesulitan.” Maka berfirman Allah swt., “Aku lebih berhak daripadamu tentang hal itu. (Hai, para malaikat!). Beri kelapangan hambaku itu!” (Riwayat Muslim)

Allah SWT mengarahkan para malaikatnya memberikan kesenangan kepada orang berkenaan, kerana ia adalah balasan di atas sifatnya yang suka menyenangkan orang lain. Inilah tipa manusia kaya idaman yang sepatutnya menjadi inspirasi kepada kita semua.

Harus diingat, harta adalah amanah Allah. Bagi orang yang sedar diri, maka harta itu dijana sesuai dengan kehendak Allah. Ibarat meminjam kereta kawan. Diminta kita pulangkan sebelum jam 8 malam, maka jangan dipulangkan pada jam 8 pagi esoknya. Jika diminta sebelum dipulangkan, diisi minyaknya penuh-penuh, maka jangan dipulangkan dengan minyaknya hanya separuh. Jika diminta agar kereta dibasuh sebelum dipulangkan, maka jangan pula saat kereta dihantar, selut dan lumpur menjadi corak tambahan.

Adatlah jika namanya meminjam. Jika semasa dalam amanah kita, kereta itu tidak dijaga dengan baik; alamatnya nama kita mungkin di’black-list’kan oleh pemilik kereta. Kelak, bila masanya kita mahu meminjam lagi, mungkin susah mahu diberi. Pelbagai alasan direka. Akhirnya siapa yang rugi, kita atau tuan punya kereta?

Mutakhir ini, makin ramai rakyat Malaysia yang ingin menjadi kaya dan berusaha menjadi kaya. Menjadi kaya itu pilihan kita sendiri dan ia tidak salah. Malah, tidak ada sesiapa pun boleh memarahi pilihan kita untuk menjadi kaya. Ada banyak baiknya menjadi kaya. Paling nyata, orang kaya boleh banyak bersedekah. Sedekah si kaya itulah yang membantu si miskin. Maka, elok sangat jika umat Islam mahu menjadi kaya.

Apa yang tidak elok, jika kekayaan didambakan namun gagal dikendalikan setelah mendapatkannya. Kita mungkin pernah terdengar kisah seorang sahabat nabi, yang saat kemiskinan mengulitinya, dia bermimpi membuat amal kebajikan jika diberikan kekayaan. Nabi sebaliknya, berpendapat dia lebih baik berada dalam kemiskinan. Lelaki miskin berkeras. Dia mahu menjadi kaya. Dia mendesak nabi berdoa.

Dipendekkan kisah, doa nabi makbul. Lelaki miskin menjadi kaya. Kayanya dia sehingga akhirnya dia terpaksa berpindah. Kambingnya yang kuat membiak memerlukan kawasan baharu. Daripada berdekatan dengan nabi, kian jauh dia membawa diri. Akhirnya, saat perintah zakat diturunkan, dia enggan tunduk dengan arahan. Dia mati dalam kefasikan. Adakah ini natijahnya kekayaan?

Sebab itulah, kita wajar berdoa agar menjadi orang kaya yang pemurah. Si kaya yang pemurah itu kekasih Allah. Si kaya yang pemurah juga dikasihi manusia. Mereka adalah payungnya umat, buat menumpang berteduh di kala hujan dan panas. Si kaya yang pemurah itu adalah penjaga amanah Allah yang tidak menyeleweng daripada kehendak Tuhan-nya.

“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw., lalu dia bertanya: “Ya, Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?” Jawab Rasulullah saw., “Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda sedang kikir, takut miskin, ketika anda sedang mengharap-harap akan menjadi seorang hartawan yang kaya-raya; maka pada saat-saat seperti itu janganlah anda lalai, bersedekahlah,” (Sahih Bukhari daripada Abu Hurairah r.a)

Sesungguhnya, manusia ini cenderung lupa dan alpa dalam kesenangan. Sebab itulah kita perlu sentiasa diperingatkan. Apatah lagi bagi orang kaya. Saat diri diulit kesenangan, kemewahan dan keseronokan duniawi, bimbang ada yang terlupa diri. Bukankah Allah sendiri menyatakan, “Bermegah-megahan (antaranya dengan harta kekayaan) telah melalaikan kamu, sehingga kamu masuk ke dalam kubur,” (at-Takasur: 1-2). Maka, dengan sedikit sentuhan ini, harapnya ia mampu membelai jiwa kita dan menarik kita agar menjadi si kaya yang mithali.

Wallahua’lam.

sumber:
http://www.hamizul.com/?p=2093

30 September 2010























MTQN Kelantan merakamkan jutaan terima kasih kepada sdr Hilal Asyraf juga admin laman web "pembangunan jiwa", langit ilahi.com kerana sudi berkongsi ilmu dan pengalaman beliau.



Semangat! sdr Hilal Asyraf sedang berkongsi sesuatu dengan para pelajar MTQN.






25 September 2010



01 September 2010

Lailatul Qadar


Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam Lailatul Qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja.

Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang ertinya :

"Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu."

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya.

Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat.

Demikianlah juga dengan penyembunyian malam Lailatul Qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam Lailatu Qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam Lailatul Qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan Lailatul Qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam Lailatul Qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Ubay Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai Lailatul Qadar yang artinya :

"Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram)." - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa.

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang ertinya :

"Sesungguhnya tanda-tanda Lailatul Qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu".- Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ubadah bin As-Somit ".

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya :

"Malam Lailatul Qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)".

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya:

"Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk".

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.

Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.
b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.
c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.
d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

petikan: http://resepirahsiaku.blogspot.com/

27 August 2010


SAYYIDINA UMAR BIN KHATTAB R.A BERKATA:


1-Allah menyembunyikan keredhaan dalam ketaatan. Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan  kepadaNya suapaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut,walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.


2-Allah menyembunyikan Kemurkaan diatas kemaksiatan kita. Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia.sedangkan sebenarnya Allah Murka kepada kita.sepatutnya kita gunakan peluang ini untuk bertaubat kepada Allah SWT.


3-Allah menyembunyikan kedatangan  malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain.Oleh itu Allah menghendaki  hambaNya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya.


4-Allah menyembunyikan wali-wali Allah  atau hambanya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut. Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.


5-Allah menyembunyikan tarikh kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.


Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambanya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan lebih sempurna, lihatlah  banduan yang berada di bilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka telah hilang akal dan melakukan perkara-perkara diluar akal kita kerana akal mereka sudah tidak berfungsi lagi.


6-Allah menyembunyi solat kita yang terbaik di sisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.Jika Allah zahirkan penerimaan solat kita pasti kita akan bermegah megah sesama manusia dan akan lalai serta mengambil peluang untuk melakukan maksiat.


Begitulah luasnya rahsia disisi Allah Yang Maha Esa.


petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com/

26 August 2010


Pada hari ini (17 Ramadan) tahun kedua hijrah telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang tidak wajar dilupakan oleh seluruh umat Islam.
Peristiwa tersebut ialah peristiwa peperangan Badar Al-Kubra yang merupakan satu pertembungan antara tentera yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan tentera kuffar Quraisy.


Peristiwa ini adalah merupakan permulaan operasi jihad al-qital di dalam Islam dan tenteranya yang berjumlah 313 orang daripada kalangan sahabat merupakan batalion syuhada yang menyaksikan seramai 14 orang sahabat Rasulullah telah menemui syahid. Bermula peperangan ini gerakan jihad di dalam Islam tidak pernah berakhir dan akan berterusan sehinggalah hari Qiamat.

Walaupun peperangan ini bukanlah satu peperangan yang besar dari segi jumlah, masa dan saiznya kerana tidak berlarutan lebih daripada sehari manakala jumlah korbannya hanya 14 di pihak muslimin dan 70 di pihak musyrikin, tetapi kesan yang diperolehi daripadanya amat besar. Ianya tidak sama dengan peperangan lain yang memakan masa selama bertahun-tahun bahkan berpuluh tahun serta angka korban yang mencapai angka puluhan ribu kerana apa yang dinilai ialah objektif peperangan ini yang melakar sejarah permulaan pertembungan berdarah antara kebenaran dan kebatilan, antara tauhid dan juga syirik sehingga digelar dalm al-quran sebagai yaum al-furqan (hari pemisahan):

(وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان)

“Dan tidaklah kali turunkan kepada hamba kami pada hari Al-Furqan pada Hari pertemuan dua pihak”

Rasulullah s.a.w sendiri telah menzahirkan kepentingan dan kehebatan peperangan ini dengan satu doa baginda sehingga kain rida’ yang dipakai baginda terjatuh daripada bahunya ketika mengangkat tangan kerana bersungguh-sungguh dalam doanya yang mana ianya berbunyi:

"اللهم انصر هذه العصابة، اللهم إن تهلك هذه العصابة فلن تُعبد في الأرض بعد اليوم"

“Ya Allah, Kau Berilah kemenangan kepada kaum ini, Ya Allah sekiranya hancurnya kaum ini maka nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi selepas hari ini”

Maksud yang ingin dinyatakan oleh baginda dalam doa ini adalah kepenting peperangan yang sedang dihadapi kaum muslimin yang mana ia akan menentukan nasib agama Islam dan tauhid serta ibadah kepada Allah kerana kumpulan muslimin tersebut merupakan kumpulan sahabat yang membawa agama Allah yang terakhir dan tiada lagi Nabi selepas Muhammad serta tiada lagi kitab selepas Al-Quran serta tiada lagi syariat selepas syariat Islam. Sekiranya kumpulan badar ini tewas nescaya akan tewaslah Islam dan berakhirlah agama tauhid di muka bumi ini.

Dalam peperangan ini telah berlaku beberapa babak-babak yang membuktikan ketinggian keimanan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w dan kejayaan baginda mentarbiyah para jamaah muslimin samada kaum ansar dan muhajirin yang dibentuk di dalam madrasah nabawiyyah selama 13 tahun di Makkah dan selepas 2 tahun di Madinah.

Ketika mana Rasulullah bermusyawarah dengan para sahabat berkaitan kesediaan mereka untuk pergi berperang maka salah seorang daripada mereka yang bernama saidina Miqdad bin Al-Aswad berkata:

يا رسول الله والله لا نقول لك كما قالت بنو إسرائيل لموسى اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون، بل نقول لك اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون

“Wahai Rasulullah, Demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana seperti mana berkatanya Bani Israel kepada Nabi Musa: Pergilah kamu dan tuhanmu dan berperanglah kamu berdua sedangkan kami ingin tinggal di sini, tetapi kami berkata kepadamu: Pergilah kamu dan tuhanmu maka berperanglah sesungguhnya kami akan berperang bersama kamu berdua”

Berkata pula saidina Saad Bin Muaz yang mewakili kaum Ansor:


يا رسول الله كأنك تريدنا، والله يا رسول الله لقد آمنا بك وصدَّقناك وأيقنا أن ما جئت به هو الحق، والله لو استعرضت بنا هذا البحر فخضته لخضناه وراءك ما تخلف منا رجل واحد وإنا لصُبُر في الحرب، صُدُق عند اللقاء، سالم بنا من شئت وحارب بنا من شئت لعل الله يريك منا ما تقر به عينك

“Wahai Rasulullah, seolah-olah kamu menginginkan kami. Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhnya kami beriman pada denganmu dan kami membenarkan kamu dan kami yakin sesungguhnya apa yang dibawa kamu adalah kebenaran. Demi Allah sekiranya dibentangkan kepada kami lautan luas kemudian engkau merentasinya nescaya kami akan merentasinya bersama di belakangmu dan tidak akan ada orang yang tertinggal walaupun seorang. Sesungguhnya kami orang-orang yang sabar dalam peperangan, benar dalam pertemuan, berdamailah dengan sesiapa pun yang engkau mahu bersama kami dan perangilah sesipa pun yang engkau mahu bersama kami semoga Allah menunjukkan apa yang menyejukkan matamu.”

Demikianlah beberapa perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan iktibar menerusi peristiwa peperangan badar semoga iman kita di bulan Ramadan ditingkatkan oleh Allah.

petikan: http://ibnubarqi.blogspot.com/

12 August 2010

Puasa sebenarnya memiliki rahsia dan dilengkapi pula dengan syarat kebatinannya. Imam Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukminin menggariskan enam perkara dalam perkara rahsia iaitu:

1. Memejamkan mata dan menahannya daripada memandang perkara tercela dan dibenci agama, mengganggu hati, melalaikan daripada mengingat Allah.

2. Memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan sombong.

3. Pelihara pendengaran daripada hal yang dilarang dan dibenci serta ungkapan yang diharamkan.

4. Memelihara seluruh anggota badan seperti tangan, kaki dan perut daripada dosa. Contohnya berpuasa menahan lapar, tetapi berbuka dengan makanan haram.Iman Ghazali memperi perumpamaan seperti seorang yang membina istana yang indah kemudian memusnahkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya ”Ada ramai ynag berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.”

5. Jangan membanyakkan makan waktu berbuka hingga terlampau kenyang dan terlalu mewah engan makanan.Bagaimana mahu melawan syaitan dan nafsu sedangkan perut yang terlalu kenyang itu sebenarnya mengundaang syahwat baru? Perbuatan makan sampai terlalu kenyang bertentangan dengan maksud puasa itu sendiri.

6. Hatinya hendaklah bimbang diantara takut dan harapan iaitu sama ada amalannya diterima Allah atau puasanya ditolak hingga digolongkan orang yang jauh dari rahmat Allah. Imam Ghazali menyifatkan perasaan seumpama itu harus sentiasa ada dalam diri seseorang setiap kali menunaikan apa jua ibadat.

petikan: http://peribadirasulullah.wordpress.com

13 July 2010

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Rasulullah saw lalui peristiwa luar biasa, terima pensyariahan ibadat solat secara langsung

MAJLIS memperingati Israk dan Mikraj yang menjadi catatan penting sejarah perkembangan Islam di negara ini disambut dengan menganjurkan ceramah supaya umat Islam dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa itu.

Israk dan Mikraj dilalui Rasulullah saw bukan peristiwa biasa atau hanya sekadar perjalanan untuk melihat kehebatan alam semesta. Perjalanan itu mempunyai makna dan hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah saw secara peribadi serta umat Islam keseluruhan.

Israk dan Mikraj petanda bahawa risalah Islam disampaikan Rasulullah saw bukan untuk bangsa Arab saja tetapi seluruh alam maya yang terdiri daripada umat manusia dan jin, sebagai penghormatan kepada Rasulullah saw selaku rasul akhir zaman yang tidak dianugerahkan kepada rasul dan nabi sebelumnya.

Latar belakang sejarah perjalanan malam Rasulullah saw itu kerana kegelisahan dan kesedihan baginda akibat tentangan, ancaman, pemulauan, ejekan dan kecaman daripada kaum kafir musyrik terhadapnya.

Pada masa sama, Rasulullah saw kehilangan dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang gerakan dakwah menyeru kaumnya kepada Islam iaitu isteri tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya dikasihi, Abu Talib.

Tahun itu akhirnya diabadikan oleh sejarawan Islam sebagai tahun dukacita dalam kehidupan Rasulullah. Untuk meredakan kesedihan Rasulullah saw dan mengendurkan ketegangan Baginda menghadapi dugaan itu, Allah mengundang Rasulullah saw untuk Israk dan Mikraj pada malam 27 Rejab.

Semasa dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah saw diperlihatkan kejadian luar biasa yang mengungkapkan pelbagai hikmah dan iktibar kepada umat Islam hingga hari ini. Satu peristiwa penting sewajarnya diambil perhatian ialah disyariatkan ibadat solat lima waktu.

Jika diamati secara mendalam, ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah saw Sidratul Muntaha tanpa melalui wahyu dan perantaraan Jibril seperti puasa, zakat dan lain-lain lagi difardukan melalui perantaraan wahyu.

Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai ibadat solat. Dalam Islam, solat adalah tiang agama. Sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya, sesiapa meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai dipenuhi air yang mengalir di hadapan rumah. Kita akan mandi di sungai itu sebanyak lima kali sehari untuk membersihkan diri. Inilah perumpamaan yang dibuat Rasulullah saw bagi menggambarkan keistimewaan dan kelebihan ibadat solat dalam kehidupan Muslim.

Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis satu surat pekeliling untuk dikirimkan kepada semua gabenornya:

“Wahai gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas paling penting sekali pada pandanganku ialah mendirikan solat. Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat seperti mana sepatutnya, maka dia adalah orang yang tidak dipercayai.”

Sementara sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia sudah mensia-siakan urusan yang lainnya.”

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan dan kemelesetan ekonomi mempunyai sebab musabab saling berkaitan.

Hujung pangkal keadaan musibah menimpa umat Islam ialah kerana lemahnya iman dan malas melaksanakan ibadat kepada Allah terutama solat.

Seterusnya, Rasulullah saw dapat menghadap Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj maka setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi yang Maha Esa tidak memerlukan sebarang alat komunikasi walau secanggih macam mana sekalipun.

Memadailah seseorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga keadaannya melalui solat. Hanya dengan solat maka jiwa dan raga seorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung.

Selain itu, Rasulullah saw bertemu dengan kaum yang memecahkan kepala mereka dengan batu yang keras. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka berterusan memecahkan kepala.

Rasulullah saw bertanya kepada Jibril mengenai golongan itu, lalu dijelaskan bahawa mereka ialah sekumpulan orang yang berat kepala untuk mendirikan solat fardu.

Selain seksaan meninggalkan ibadat solat, Rasulullah saw diperlihatkan seksaan akibat tidak menunaikan zakat, memberi sedekah, memakan riba, meninggalkan jihad pada jalan Allah, tidak menjaga lidah dan memelihara anggota tubuh badan.

Rentetan kejadian demi kejadian ini menyingkap kewajipan agama sudah datang sekalipun masih belum difardukan dan mempamerkan corak kehidupan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan umat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan lagi kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang sekali gus menunjukkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh yang seharusnya diselami, difahami dan dipraktikkan setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj.

Peristiwa itu berupaya menjadi pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadah secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji Muslim supaya dapat meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Petikan: http://epondok.wordpress.com/

;;

Janji Allah Pasti Berlaku!

Maahad Tahfiz Al-Quran (MAIK) ©Template Blogger Green by ubid_laden.

TOPO