25 November 2010

Si Kaya Yang Mithali




Si kaya yang mithali.

Harta hanyalah alat. Ibarat sebuah kereta yang bisa membawa kita ke mana sahaja. Dipusing ke kanan sterengnya, kereta itu mungkin menuju ke masjid. Di pusing ke kiri, kereta itu mungkin mengala ke taman bunga. Dibiarkan tidak bergerak, maka kekallah kereta itu di garajnya.

Dalam hal ini, Allah SWT sebenarnya ‘cemburu’ dengan mereka yang bijaksana dalam urusan hartanya. Cuba kita perhatikan petikan sebuah hadis: Daripada Hudzaifah r.a., katanya : “Dihadapkan kepada Allah SWT seorang di antara hamba-hamba-Nya yang diberiNya harta kekayaan. Lalu Allah bertanya kepadanya, “Apa kerjamu di dunia?” Jawab orang itu, “Tuhan memberi hamba harta kekayaan. Kerana itu hamba berdagang dengan orang ramai. Sifat hamba ialah suka melapangi. Kerana itu hamba beri kemudahan orang yang mampu, dan hamba beri tangguh orang yang dalam kesulitan.” Maka berfirman Allah swt., “Aku lebih berhak daripadamu tentang hal itu. (Hai, para malaikat!). Beri kelapangan hambaku itu!” (Riwayat Muslim)

Allah SWT mengarahkan para malaikatnya memberikan kesenangan kepada orang berkenaan, kerana ia adalah balasan di atas sifatnya yang suka menyenangkan orang lain. Inilah tipa manusia kaya idaman yang sepatutnya menjadi inspirasi kepada kita semua.

Harus diingat, harta adalah amanah Allah. Bagi orang yang sedar diri, maka harta itu dijana sesuai dengan kehendak Allah. Ibarat meminjam kereta kawan. Diminta kita pulangkan sebelum jam 8 malam, maka jangan dipulangkan pada jam 8 pagi esoknya. Jika diminta sebelum dipulangkan, diisi minyaknya penuh-penuh, maka jangan dipulangkan dengan minyaknya hanya separuh. Jika diminta agar kereta dibasuh sebelum dipulangkan, maka jangan pula saat kereta dihantar, selut dan lumpur menjadi corak tambahan.

Adatlah jika namanya meminjam. Jika semasa dalam amanah kita, kereta itu tidak dijaga dengan baik; alamatnya nama kita mungkin di’black-list’kan oleh pemilik kereta. Kelak, bila masanya kita mahu meminjam lagi, mungkin susah mahu diberi. Pelbagai alasan direka. Akhirnya siapa yang rugi, kita atau tuan punya kereta?

Mutakhir ini, makin ramai rakyat Malaysia yang ingin menjadi kaya dan berusaha menjadi kaya. Menjadi kaya itu pilihan kita sendiri dan ia tidak salah. Malah, tidak ada sesiapa pun boleh memarahi pilihan kita untuk menjadi kaya. Ada banyak baiknya menjadi kaya. Paling nyata, orang kaya boleh banyak bersedekah. Sedekah si kaya itulah yang membantu si miskin. Maka, elok sangat jika umat Islam mahu menjadi kaya.

Apa yang tidak elok, jika kekayaan didambakan namun gagal dikendalikan setelah mendapatkannya. Kita mungkin pernah terdengar kisah seorang sahabat nabi, yang saat kemiskinan mengulitinya, dia bermimpi membuat amal kebajikan jika diberikan kekayaan. Nabi sebaliknya, berpendapat dia lebih baik berada dalam kemiskinan. Lelaki miskin berkeras. Dia mahu menjadi kaya. Dia mendesak nabi berdoa.

Dipendekkan kisah, doa nabi makbul. Lelaki miskin menjadi kaya. Kayanya dia sehingga akhirnya dia terpaksa berpindah. Kambingnya yang kuat membiak memerlukan kawasan baharu. Daripada berdekatan dengan nabi, kian jauh dia membawa diri. Akhirnya, saat perintah zakat diturunkan, dia enggan tunduk dengan arahan. Dia mati dalam kefasikan. Adakah ini natijahnya kekayaan?

Sebab itulah, kita wajar berdoa agar menjadi orang kaya yang pemurah. Si kaya yang pemurah itu kekasih Allah. Si kaya yang pemurah juga dikasihi manusia. Mereka adalah payungnya umat, buat menumpang berteduh di kala hujan dan panas. Si kaya yang pemurah itu adalah penjaga amanah Allah yang tidak menyeleweng daripada kehendak Tuhan-nya.

“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw., lalu dia bertanya: “Ya, Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?” Jawab Rasulullah saw., “Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda sedang kikir, takut miskin, ketika anda sedang mengharap-harap akan menjadi seorang hartawan yang kaya-raya; maka pada saat-saat seperti itu janganlah anda lalai, bersedekahlah,” (Sahih Bukhari daripada Abu Hurairah r.a)

Sesungguhnya, manusia ini cenderung lupa dan alpa dalam kesenangan. Sebab itulah kita perlu sentiasa diperingatkan. Apatah lagi bagi orang kaya. Saat diri diulit kesenangan, kemewahan dan keseronokan duniawi, bimbang ada yang terlupa diri. Bukankah Allah sendiri menyatakan, “Bermegah-megahan (antaranya dengan harta kekayaan) telah melalaikan kamu, sehingga kamu masuk ke dalam kubur,” (at-Takasur: 1-2). Maka, dengan sedikit sentuhan ini, harapnya ia mampu membelai jiwa kita dan menarik kita agar menjadi si kaya yang mithali.

Wallahua’lam.

sumber:
http://www.hamizul.com/?p=2093

0 Comments:

Post a Comment



.


Janji Allah Pasti Berlaku!

Maahad Tahfiz Al-Quran (MAIK) ©Template Blogger Green by ubid_laden.

TOPO