24 March 2015




Palestin,
Siapakah pemilik nama ini?
Aku telah mendengarnya sejak kecil,
Pada waktu ia sudah berdarah,
Dan hari ini,
Darahnya terus mengalir.

Aku kira, 
ianya Peringatan berterusan kepada Ummah,
Justeru darahnya tidak akan pernah kering,
Sehingga Ummah menyelamatkannya,
Dengan kekuatan ISLAM.

Sepanjang sejarah, Palestin adalah bumi yang menjadi tanda. Antara kebaikan dan kebatilan. Ketika kebaikan menguasai dunia, dia juga menguasai Palestin. Tatkala kebatilan berkuasa di Palestin, menghina dan menginjaknya, ia juga memberi tanda, kebatilan juga menyelubungi dunia.

Kerana Palestin adalah bumi kemuncak. 

Kemuncak kepada kekuasaan.

Maka saat Umat Islam kehilangan Palestin, mereka bukan sahaja kehilangan Al-Quds, bahkan kehilangan diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka sendiri daripada hakikat Islam.

Kerana boikot dan derma tidak dapat menyelamatkan Palestin. Yang dapat menyelamatkannya adalah diri mereka sendiri.

Apabila mereka berdiri sebagai Muslim yang sebenar, apabila mereka mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyyah Islam, apabila masyarakat mereka mempunyai semangat Islam, apabila pemerintah mereka melaksanakan pemerintahan Islam, ketika itulah kegerunan sebenar menyelubungi orang-orang Zionis Laknatullahi a'laihim.

Kerana mereka tahu, ketika itu umat Islam bukan saja akan memboikot barangan mereka, bukan saja menderma, bahkan umat Islam akan memberikan tentangan yang penuh untuk berhadapan dengan mereka. 

Kerana dahulunya, Islamlah yang membawa umat Islam kepada kemuncak sehingga mereka membebaskan Al-Quds.

Palestin, Hanya Apabila Muslim Berubah

Firman Allah SWT;


Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini (Baitul Maqdis), kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami '; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik".

(Surah al-Baqarah: 58)

Perintah Allah kepada Bani Israel dulu. Supaya bersyukur diatas nikmat kemenangan mengusai Baitul Maqdis. Malangnya, mereka melangkah kedalamnya dengan penuh kesombongan.
Justeru mereka dihina oleh Allah.

Israel hari ini pula, melangkah kedalam Baitul Maqdis dengan bongkak dan mencemar duli Baitul Maqdis dengan kerosakkan dan kehancuran. Dasar orang-orang Israel yang tidak berubah.

Firman Allah SWT;

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu."
(Surah al-Baqarah: 120)

Peringatan Allah kepada umat Islam, tentang kebobrokan musuh mereka sepanjang pertembungan dalam sejarah.


Sesungguhnya perjuangan membebaskan Palestin adalah perjuangan yang panjang. Membebaskan Al-Quds tidak boleh bermusim, "sekali air bah, sekali pantai berubah". Dan isu Palestin bukan semata-semata isu Palestin. Bahkan ia bersangkut-paut dengan keadaan ummah secara global.

Justeru pembebasan Palestine bermula dengan membebaskan diri daripada maksiat dan kepunahan kepada kemurnian Islam. Sehinggalah tanah air kita sendiri dibebaskan supaya pemerintahan hanya tunduk kepada Allah SWT.

Kerana Palestin, hanya apabila Muslim kembali kepada ISLAM.

Sehingga saat itu, Palestin akan terus berdarah.

Sebagai peringatan berterusan kepada Ummah.

Allahuakbar!


0 Comments:

Post a Comment



Janji Allah Pasti Berlaku!

Maahad Tahfiz Al-Quran (MAIK) ©Template Blogger Green by ubid_laden.

TOPO